Saturday, October 31, 2009

Blog yang baru lahir hari ini! Catatan Peribadi Rusyaini

Ni blog peribadi Wan. Blog Rusyaini Frozen Food hanya utk biz je. lepas ni semua hal-hal peribadi masuk blog ni. Bye!


Karya yang telah lama tidak disiapkan. Sibuklah...
BICARA SEPI

Tangan tuanya perlahan-lahan memegang daun tingkap sambil memandang sekawan lembu meragut rumput saat matahari mula menampakkan wajah. Dalam syahdu dari kejauhan, rindunya kian menebal, setebal awan larat hitam yang semakin kelam.

“Sejuk pagi ini”, getus hati kecilnya seraya mengerling ke langit luas.
Sesejuk kalbunya menunggu kehadiran orang-orang yang disayangi sejak sekian lama.

“Tok Wan, susu dah siap! Pagi ni kita makan pau ya, Tok Wan!” sapa Ina manja melayan neneknya yang satu itu.

Tok Wan hanya melerek senyum sambil memandang tepat ke dalam mata cucunya. Sebetulnya Tok Wan tidak banyak karenah. Selepas bangun daripada tidur, biasanya Tok Wan hanya duduk di atas katil bertemankan Mummy yang asyik berzikir, berwirid dan membaca Al-Quran sehingga cerah tanah. Sebelum solat Subuh, biasanya Tok Wan sudah bangun dan Mummy akan siapkan susu untuk santapan awal pagi bersama beberapa keping biskut. Bukan apa, cuma bimbang Tok Wan lapar setelah beberapa jam duduk di katil. Biasanya seawal jam empat pagi Tok Wan sudah bangun. Dulu semasa cergasnya, Tok Wan akan bangun bertahajjud seawal jam tiga pagi. Agaknya sudah biasa dengan amalan tersebut, Tok Wan bangun jugak walaupun sudah lama tidak solat dek kerana nyanyuknya itu. Kadang-kadang Tok Wan menangis apabila teringat betapa lamanya dia sudah tidak mengerjakan solat.

“Tok Wan… ustaz kata tak apa Tok Wan tak solat sekarang. Tok wan dah lupa bacaan. Sudah tak ingat lagi. Tak dosa Tok Wan. Allah tahu. Cuba Tok Wan baca Fatihah. Ingat tak?” soal Ina apabila melihat neneknya beria-ria menangis kesedihan.

Tok Wan terdiam, merenung dalam sambil cuba mengingat. Berkerut-kerut dahi Tok Wan lalu memandang kelat ke arah Ina yang berdiri di hadapannya.

“Emm… tak ingat dah…” balas Tok Wan perlahan-lahan sambil mengesat air matanya.

Selepas siap melipat sejadah, Mummy bangun sambil menopang lututnya yang semakin sakit kebelakangan ini. Mummy pun bukan sihat sangat. Sakit lututnya menjadi-jadi. Berdenyut-denyut bukan kepalang. Macam-macam ubat sudah dicubanya, habis beribu pun masih seperti itu juga. Tidak hilang-hilang juga sakitnya. Mummy gagahkan jua bangun menyiapkan air mandian Tok Wan. Air yang tadinya telah dipanaskan, dituang ke dalam baldi bersama air paip. Mummy buka lampin pakai buang, baju dan kain Tok Wan. Tok Wan diam mengikut sahaja. Tok Wan bangun perlahan-lahan sambil dipimpin Mummy. Setelah tiga kali mencuba, barulah berjaya bangun berdiri. Langkah Tok Wan satu per satu, takut-takut. Tok wan takut benar kalau berjalan, bimbang terjatuh lagi. Dulu Tok Wan terjatuh di dalam bilik air akibat tersadung. Berminggu-minggu juga lebam di punggungnya baru hilang. Sedih tengok Tok Wan yang sudah tidak bermaya. Masa kuatnya dulu, Tok Wan ligat berjalan. Kalau tidak ke Sarawak, ke Jerteh, kalau tidak ke Kuala Lumpur ke Kelantan. Bak kata orang keliling dunia memanjang. Bukan apa, seronok jenguk cucu dan anak-anak. Kalau tiada dalam Malaysia, ke Mekah lah Tok Wan.
Dulu Tok Wan masa sihatnya, selalu bawa orang kampung ke Mekah. Dialah uruskan segala-galanya. Daripada urusan passport hinggalah menyewa rumah, memasak dan sebagainya di Mekah. Tok Wan berani orangnya. Semangat Tok Wan kuat. Anak Tok Wan ramai. Lapan orang perlu disuap. Tok Ayah selalu tidak ada di rumah. Tok Ayah pun sama, merantau satu Malaysia, buka surau dan masjid. Tok Ayah banyak berdakwah. Boleh kata setiap negeri mesti ada surau atau masjid yang Tok Ayah bina. Cakap sahaja di mana, utara, selatan, timur dan barat. Di Kuantan, surau yang dahulunya Tok Ayah bina sudah dinaiktaraf menjadi masjid. Kalau jalan menghala ke Bandar Kuantan dari Gambang mesti akan melalui masjid Al-Fattah. Dulu orang di situ tidak ada surau untuk mengumpulkan jemaah. Tok Ayahlah orang yang bertanggungjawab mentarbiyah masyarakat ketika itu dan ramai yang mengimarahkan surau. Setelah ada pengganti, Tok Ayah berjalan lagi melihat, mencari kawasan yang tiada surau. Sampai ke Hulu Tembeling pun Tok Ayah pergi. Berperahu, berakit, meredah hutan, semuanya Tok Ayah tempuh. Tok Ayah pun kuat semangatnya sama seperti Tok Wan. Mungkin Tok Wan dapat semangat daripada Tok Ayah agaknya.

Sejarah Tok Ayah seronok juga didengar. Tok Ayah belajarnya di Mekah. Usia belasan tahun Tok Ayah sudah ke sana. Kalau menurut Tok Wan, lama Tok Ayah di Mekah sehingga akhir usia 20-an. Kira-kira Tok Ayah ni macam tok guru agama. Mengaji kitab-kitab besar, menuntut dengan ulama’ muktabar. Banyak juga kitab-kitab pondok yang ditulis Tok Ayah. Sayang sungguh, ramai cucu yang tidak kenal Tok Ayah, tidak pernah pegang, duduk di riba Tok Ayah. Allah lebih sayang Tok Ayah. Namun begitu, semua cucu dekat dengan Tok Ayah. Cerita-cerita malar segar daripada Tok Wan dan Mummy membuatkan semua cucu rasa kehadiran Tok Ayah. Marah? Tok Ayah tidak pernah marah, hatta menarik muka. Hanya senyum Tok Ayah sahaja yang kekal di ingatan semua orang.

“Sejuk!” teriak Tok Wan.

Mummy merasa air di dalam baldi. Terlebih air biasa rupanya. Mummy tambah lagi air panas dan Tok Wan kembali diam. Tok Wan kata kalau mandi mesti sabun bersih-bersih barulah bau wangi. Begitulah Tok Wan, sikap pembersihnya terbawa-bawa sungguhpun daya ingatan lemah. Setelah dilap badan, Mummy menuntun Tok Wan menuju ke katil. Tok Wan mengeluh lelah. Nafasnya pendek-pendek. Berjalan menuju ke bilik air yang hanya beberapa langkah sudah cukup seksa bagi Tok Wan. Terasa amat jauh mungkin. Kemudian Tok Wan dipakaikan Mummy baju dan kain kemudian dibedak-bedakkan. Putih melepak dibuatnya. Rambut Tok Wan yang boleh dibilang ubannya, disikat Mummy. Tak jemu Mummy melayan Tok Wan, tak ubah seperti seorang bayi. “Amboi! Comel betul Che’ hari ni” Mummy menyakat Tok Wan lagi.

Tok Wan tersenyum lebar dan tertawa kecil. Mummy menari-nari di hadapan Tok Wan sambil menyanyi menyakat. Tok Wan ketawa terkekeh-kekeh. Apabila Tok Wan ketawa, semua orang gembira. Senyum Tok Wan ikhlas, tulus umpama kanak-kanak. Mummy berjalan sambil tersenyum menuju ke dapur lalu dicapai cawan dan pinggan berisi sarapan. Tok Wan membuka luas-luas mulut apabila disuapkan Mummy. Bersinar-sinar mata Tok Wan. “Sedap!” kata Tok Wan sambil tersenyum. Bab-bab makanan Tok Wan memang cerewet. Kalau tak sedap Tok Wan tidak mahu makan. Mulalah mencebik sahaja muka dibuatnya. Mummy layan sahaja karenah Tok Wan. Kalau Tok Wan kata tak sedap, Mummy cari benda lain untuk diberikan kepada Tok Wan. Tok Wan paling suka makan bihun sup. Mummy sanggup bawa kereta keluar cari bihun sup. Malam pun Mummy sanggup sungguhpun rumah hujung tanjung. Kalau ada pasar malam, Mummy pergi cari bihun sup tunjuk. Tunjuk sahaja mana yang suka, beli bawa balik.

Tok Wan pun suka makan pau inti kacang merah. Kalau setakat empat biji bersaiz kecil, sekali jeling sahaja. Kalau sedap Tok Wan puji berkali-kali. Mesti Tok Wan minta buatkan lagi untuknya esok.

“Tok Wan, Ina balik Kuala Lumpur esok. Nanti Ina balik lagi ya.” khabar lembut Ina sambil melabuhkan punggungnya di sisi Tok Wan. “Balik? Pukul berapa nak balik?” soal Tok Wan terkejut. “Pagi.” jawab Ina lantas terus menukar topik perbincangan.

Tok Wan memandang sayu keluar tingkap seolah-olah tidak mendengar apa-apa. “Pakcik engkau sudah lama tidak balik. Bila dia nak balik?” tanya Tok Wan sayu. Kelopak matanya sudah bergenang. Tok Wan selalu begitu. Kalau cucu mahu berangkat pulang, dia akan bertanya tentang anak-anaknya yang lain. Rindu Tok Wan bukan kepalang. Kalau boleh Tok Wan mahu semua anak-anak berada di sisi dalam setiap sela nafas yang bersisa.

“Tok Wan ni… kan pakcik baru datang minggu lepas. Pakcik kerja. Tak boleh selalu minta cuti. Nanti pakcik balik lah hujung bulan ni” balas Ina menenangkan hati Tok Wan.

Hari ini Tok Wan buat perangai. Tok Wan tidak mahu makan. Kenyang katanya. Air putih minum sedikit. Susu hanya habis separuh gelas kecil. Semua makanan dikatakannya tidak sedap. Apabila terpandang Ina melintas di hadapan, dipanggilnya. Soalan yang sama ditanya berulang kali. Walaupun sudah memakai lampin pakai buang, dikatakannya belum. Dilambainya tangan memanggil Ina lagi. Diminta Ina memakaikannya lampin dewasa. Ada sahaja yang tidak kena. Dari pagi hingga ke malam, Tok Wan batuk tidak berhenti-henti. Tok Wan selalu buat-buat batuk sehingga sakit dadanya. Tok Wan panggil lagi sampai terjerit-jerit. Kalau Tok Wan buat perangai, semua orang penat, susah hati. Kalau begitu keadaannya, Tok Wan akan sakit kepala. Penyakit darah tinggi Tok Wan akan datang kembali. Walaupun sudah memakan ubat, Tok Wan lawan mata, tidak mahu tidur. Jawabnya dua harilah Tok Wan akan berkeadaan begitu. Kalau sudah begitu perangai Tok Wan, darah tinggi Mummy pula yang naik. Mummy pula sakit kepala. Sama-sama sakit seperti Tok Wan. Walaupun sakit, Mummy gagahkan juga melayan Tok Wan. Rajuk Tok Wan tidak panjang, dua tiga hari sahaja. Akhirnya perangai Tok Wan kembali kepada asal.

Sebenarnya sudah lama benar pakcik tidak bersua muka dengan Tok Wan di kampung. Geram Mummy memang bertempat. Kalau Tok Wan teringatkan pakcik, pasti Mummy yang pening kepala. Tok Wan akan jatuh sakit. Sakit Tok Wan, sakitlah hati Mummy. Mummy redha kalau pakcik lepas tangan tetapi Mummy sedih melihat Tok Wan. Rindu benar dia pada pakcik. Menangis setiap hari menahan rindu yang tidak kesampaian. Memang Tok Wan banyak karenah tetapi hanya sekali-sekala. Pakcik? Jauh membawa lara dalam sepi sendiri.

Pakcik sudah hampir satu abad menghilangkan diri, membawa jiwa luka. Terkesan sungguh di hati pakcik kata-kata nenek dahulu. Suri pilihan pakcik tidak berkenan di mata nenek. Sampai nenek tidak mengaku anak apabila pakcik kahwin lari.

“Sudah aku kata, aku mati hidup semula tak akan terima perempuan yang entah dari mana asal usul tu! Keluar! Jangan jejak kaki engkau lagi di tangga aku ni! Keluar!” amarah Tok Wan menggila.

Pakcik menangis teresak-esak memohon maaf. Namun hati nenek memang keras bak batu. Siapa yang tidak kenal nenek. Kalau putih kata nenek, putihlah. Kalau hitam kata nenek, hitamlah. Nenek jarang mengalah. Walaupun pakcik, anak yang paling disayang nenek, tiada maknanya jika sudah terluka. Hancur luluh hati nenek apabila mendapat tahu pakcik telah berkahwin hampir setahun tanpa pengetahuan sesiapa ahli keluarga. Mana tidaknya, nenek sendiri telah mengatur bicara ingin menyunting anak dara makcik Limah di kampung sebelah. Malu nenek tuhan sahaja yang tahu. Terpaksalah nenek menebalkan muka mengadap makcik Limah sekali lagi. Satu kampung kecoh apabila mendapat tahu anak teruna nenek yang pendiam itu tiba-tiba berkahwin tanpa adanya majlis meriah dengan pukulan kompang. Sejak itu, rumah nenek tiada lagi suara-suara nakal pakcik. Tiada lagi teriak pekik nenek di pagi hari mengejutkan pakcik. Dalam diam, hati nenek pada pakcik berkubur sedikit demi sedikit, bercampur geram, rindu, kesal satu per satu.

Luarannya nenek tampak hebat namun di ruang yang paling dalam nun di sana nenek menderita. Itulah satu-satunya anak lelaki tunggal nenek. Mummy pula sering menitipkan surat kepada pakcik, namun hanya menanti hari-hari mendatang berlalu bersama angin. Hampa. Seingat Mummy hanya sekali pakcik bersuara. Itupun sebulan selepas pemergian pakcik dan kini hari-hari berlalu tanpa sebarang pesan.

“Tanah aku tu… juallah. Separuh sedekah pada masjid. Separuh lagi buat makan minum aku. Bekal mati aku. Nak upah orang gali kubur, tok imam baca talkin. Aku tak nak simpan harta. Nanti berebut anak beranak” pinta Tok Wan sungguh-sungguh pada suatu pagi. Beria-ria benar Tok Wan berpesan kepada Mummy dan makcik-makcik yang lain. Tok Wan mula bersuara setelah sekian lama apabila kebetulan semua makcik balik cuti raya. Ada yang tercengang kebingungan. “Tiada bahagian kita?” bisik makcik tengah kepada yang bongsu. Masing-masing berwajah hampa. Tanah Tok Wan di tengah-tengah bandar itu kalau dinilai hampir mencapai jutaan ringgit. Dulu, ada terdengar ura-ura makcik tengah mahu mengecek duit nenek untuk membesarkan rumahnya yang baru dibeli tiga tahun lepas. Katanya mahukan ruang dapur yang lebih moden dan terkini. Dekat-dekat lima puluh ribu ringgit belanja. Tapi nenek diam sahaja.

Pagi-pagi lagi makcik tengah sudah bersiap-siap mengemas beg-beg besarnya. Katanya ada urusan pejabat yang lupa diselesaikan sebelum cuti, jadi terpaksa disiapkan terlebih dahulu sebelum mesyuarat akhir tahun. Mummy hairan tidak terkata. Baru satu malam beraya di kampung sudah mahu balik. Selang sehari kemudian, makcik sulung pula berangkat pulang diikuti dengan yang lain satu per satu sehinggalah hanya tinggal nenek dan Mummy di rumah usang.

Mummy geram lagi. Bukan selalu makcik-makcik datang menjenguk nenek. Setahun sekali sahaja, itupun tidak lama. Nenek setiap hari bertanyakan makcik-makcik kepada Mummy. Tapi begitulah jawapan Mummy setiap kali soalan dilontarkan nenek. Makcik tidak dapat cuti. Sungguhpun Tok Wan seolah-olah semacam percaya namun kadang-kadang kelihatan menangis sendirian pula. Sukar mengungkap perasaan orang tua itu. Hanya Tok Wan sahaja yang lebih memahami kehendaknya sendiri.

Kehilanganmu menggamit rinduku!