Friday, April 16, 2010

Saat-saat Wan hampir menitiskan airmata!


"Ibu, ni untuk ibu!"kata Nurin. Wan tergamam sebentar. Terima kasih, Nurin! Kenapa ni? Nurin senyum je. Wan terpinga-pinga. Aduh! sayunya rasa!

Inilah bunga carnation plastik yang dihadiahkan Nurin pada Wan. Nurin beli dengan duit belanja harian di kedai buku sekolah.

Balik je dari sekolah, Nurin cepat-cepat letakkan beg, pergi kedai beli sekeping kertas warna biru. Wan kerling-kerling jugak tapi tak pasti apa yang dibuat Nurin tu. Wan nampak dia gunting-gunting dan entah apa lagi. Wan tak tanya sebab ingat dia buat kerja sekolah. Lebih kurang pukul 6 petang, Nurin bagi kad tu pada Wan."Apa ni Nurin?" tanya Wan. "Ibu tengoklah!"jawab Nurin. Wan pun buka kad tu, dan rasa amat terkejut. Rasa sayu tiba-tiba je datang. Tak sangka anak yang kecil ni sudah tahu menghargai diriku dan suami. Rasa nak menangis je, dalam hati Tuhan saja yang tahu. Wan peluk Nurin sambil berkata, "Terima kasih, Nurin!" Nurin senyum je. "Kenapa Nurin buat kad ni untuk ibu?", tanya ku. "Nurin sayang ibu!" terus dia letakkan kepalanya di dada Wan sambil memeluk dengan lebih kuat. "Ibu pun sayang Nurin!" balas Wan sambil mencium pipinya dan terus memeluknya lama. Tak pernah Wan rasa pengalaman dihargai sebegini. Terima kasih, anak ibu semua!

Monday, April 5, 2010

Menjadi Isteri Yang Penuh Pesona?

Rasulullah saw pernah bersabda kepada bibi Husain nin Mihshan, “Perhatikanlah sikapmu terhadap suamimu, kerana ia adalah syurga dan nerakamu

Kita bagaimana?

Rasulullah saw juga pernah bersabda,

Isteri-isteri kalian yang termasuk penghuni syurga ialah yang penuh kasih sayang, banyak anak, suka kepada suaminya; jika ia marah kepada suaminya, ia akan datang kepadanya sambil meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata,’Aku tidak dapat memejamkan mataku hingga engkau redha’.” Hadith riwayat Al-Baghawi dalam As-Silsilah Ash Shahihah.

Alangkah indahnya hidup suami isteri yang rukun aman damai lagi penuh kasih sayang. Penuh kemaafan dan saling manja-memanjakan satu sama lain. Namun ramai antara isteri-isteri sejak dulu hingga kini lebih suka mementingkan diri sendiri. Tersalah bicara sikit, tersentuh hatinya sedikit, terus-terusan berlagak diva. Nak jugak suami datang memujuk. Betul ke tindakan ini selaras dengan anjuran Rasulullah saw? Kadang-kala sampai seminggu tidak bertegur sapa. Bila masuk tidur, terus paling muka ke dinding. Ada apa istimewanya dinding yang keras itu sehingga setia merenungnya sampai berminggu-minggu. Penting sangatkah perasaan kita sehingga menidakkan hak suami terhadap empunya diri?

Berapa ramaikah di antara isteri-isteri sejak dahulu dan kini memohon maaf terhadap suami sebelum masuk tidur setelah bermasam muka? Wahai isteri-isteri akhir zaman, reda dan padamkanlah api amarah dengan senyum manismu. Suburkanlah kasih-sayang yang kita cipta sendiri bersama-sama selama ini.


Alangkah bahagianya dapat merenung wajah manis suami yang bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk mendapatkan kita suatu ketika dahulu. Sebagai seorang lelaki, mereka juga ada rasa malu yang menebal terutamanya bila tiba masa nak mengurat. Walaupun malu, digagahkan juga semata-mata untuk memiliki diri kita. Belum lagi cerita bab masa nak berjumpa ibu bapa kita dan ipar duai. Berdebar-debar sudah tentu. Mana tak berdebar, buatnya tak diterimanya dia. Tak ke malu? Malu seh! Itupun ditebalkan juga muka mengadap ibu bapa kita. Dialog? Tak payah cakaplah, mesti tak tidur malam memikirkan ayat-ayat yang nak diatur sebagai pemula bicara. “Makcik…. saya sukakan anak makcik…. kalau boleh saya nak berkahwin dengan dia.” Rasa-rasa…. Senang ke? Kalau saya sebagai perempuan ni, tak sanggup nak pikul tanggungjawab tu. Betullah lelaki ni hero segala-galanya pada perempuan! Bila lelaki dah bercakap macam tu pada ibu bapa, kita rasa sangat-sangat dihargai. Ibu bapa kita pun berbunga-bunga hati untuk menerima orang baru dalam keluarga.

Bila dah berkahwin, suami kita jadi lain macam excitednya. Rasa kita ni betul-betul di bawah jagaan dia. Kalau dulu, dia pun di bawah jagaan ibu bapa dia, sekarang dia pulak yang nak menjaga anak orang, perempuan pulak tu…. Hish! Kena jaga betul-betul ni! Jalan berpimpin, takut jatuh. Makan bersuap takut tak kenyang pulak anak dara orang ni. Tidur bertepuk takut tak lena. Bak kata orang diselimuti kita dengan penuh kasih sayang. Semuanya diuruskan dengan baik agar anak orang ni rasa bahagia. Itulah istimewanya menjadi isteri kepada seorang suami yang bertanggungjawab. Itu tanggungjawab suami.

Tanggungjawab kita sebagai isteri? Sedihnya ramai yang lupa tanggungjawab diri sendiri terhadap suami. Hanya tahu membebankan dan menyesakkan fikiran suami dengan segala macam permintaan yang tiada kesudahannya walaupun hampir tiba masa dua tiang dipacakkan ke tanah. Nauzubillah…..

Itu belum lagi bercerita tentang mulut-mulut power sang isteri. Suami yang bekerja keras setiap hari agar anak-anak dan isteri dapat makan setiap hari, dihamburkan pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sudahlah seharian berpenat-lelah, di rumah pula mendengar leteran si isteri yang bermulut muncung. Belum lagi yang sentiasa melihat keburukan suami tanpa menoleh seketika melihat kasih-sayangnya pada kita.

Ramai juga para isteri di zaman ini yang menidakkan pemberian suami selama ini. Sabda Rasulullah saw kepada isteri-isteri sebegini:

Neraka diperlihatkan kepadaku, dan aku sama sekali belum pernah melihat pemandangan pada hari ini yang lebih mengerikan dari neraka. Dan kudapati sebahagian besar penghuninya adalah para wanita, kerana mereka kufur terhadap pemberian suami mereka. Jika kamu berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama setahun penuh, kemudian ia melihat sesuatu pada diri kalian, ia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan darimu’.” Muttafaqun ‘alaih.

Aduh! Aduh! Isteri-isteri zaman sekarang! Insaflah! Syurga kita terletak pada redha suami. Tenangkanlah sanubarinya dengan kelembutan, kesopanan dan keprihatinan kita. Sematkanlah sentuhan penuh kasih sayang kita di jiwanya agar hidupnya tidak keruan tanpa kita. Suburkanlah roh Islam di dalam rumahtangga yang sama-sama kita cipta dalam mencari erti bahagia sementara di sini ke arah menuju sejahtera di sana yang kekal selamanya.

Saidatina Aisyah ra pernah berkata, “Wahai kaum wanita, seandainya kalian mengetahui hak-hak suami atas diri kalian, nescaya salah seorang dari kalian akan mengusap debu dari kedua kaki suaminya dengan pipinya.” HR Ibnu Majah, Shahih At-Targhib wa At- Tarhib.

Begitulah besarnya hak dan kedudukan suami dalam hidup kita seharian. Sebagai seorang isteri, kita perlu sentiasa berfikiran terbuka dan sedaya-upaya cuba mencambahkan minda serta mencari jalan untuk membahagiakan hati suami dan berkejar-kejar untuk mendapatkan keredhaanya.

Persoalannya, apakah hak-hak suami terhadap kita selaku isterinya? Jarang kita bertanya pada diri sendiri tentang keperluan suami pada diri kita. Apakah yang dia dambakan daripada kita sebagai isteri yang masih setia bersamanya? Mungkin di sini boleh saya gariskan beberapa tips atau hak seorang suami yang diperlukan daripada diri kita sebagai isteri.

PERTAMA:
TAATLAH DIRINYA DALAM PERKARA KEBAIKAN!
Taat dalam kebaikan ini bermaksud kita taat dalam perkara yang suami suka dan benci. Seandainya suami kurang gemar kita bercampur gaul dengan rakan-rakan wanita di rumah, maka taatlah dan berusaha meletakkan jurang dalam pergaulan dengan memberikan pelbagai alasan. Jadi ketepikan dahulu selera dan citarasa kita semata-mata agar suami bahagia.

Begitu juga dengan soal berpakaian. Tanya dahulu pendapat suami tentang pakaian yang akan kita pakai seharian sama ada di rumah mahupun di luar. Seandainya suami tidak redha walaupun pakaian tersebut merupakan kegemaran atau kebanggaan, tolaklah ketepi. Seandainya kita telah mengenakan pakaian tersebut, kuatkanlah semangat untuk menanggalkannya demi suami.

Lakukanlah semata-mata kerananya demi syurga yang kita kejar.

KEDUA:
BERSABAR!

Tatkala marah, tenangkan suami dengan kata-kata lembut, senyum dan merendah diri. Setidak-tidaknya diamkan diri dahulu, berikan peluang dia meluahkan perasaannya. Tidak salah meminta maaf walaupun kita di pihak yang bersalah ataupun tidak. Kalau dia bersuara, bermakna ada sesuatu yang tidak menyenangkan perasaannya. Jadi, mahu tidak mahu, tentu ada salah di pihak kita. Dalam sebarang pertikaian, tidak penting soal menang dan kalah kerana kita melayari bahtera ini bersama-sama, jadi perlukah soal ego diletakkan di hadapan? Yang penting bagaimana cara kita berusaha untuk mengembalikan keamanan dalam diri masing-masing.

Cuba sedaya-upaya tidak ambil serius kata-kata yang mengguris perasaan kita. Buangkan jauh-jauh bisikan syaitan yang cuba menyemarakkan api kemarahan suami isteri. Makhluk yang dilaknat itu memang suka andai kita suami isteri berpecah-belah. Padamkanlah amarahmu dengan zikir. Tidak salah melawak dan tersenyum-senyum kambing sambil memeluk tari dengan suami. Lama-kelamaan marahnya akan reda.

Tanamkan dalam diri bahawa walaupun berselisih pendapat dan tidak sehaluan dalam sesetengah perkara, kita tidak akan membiarkan masalah itu berlarutan. Cuba bertekad bahawa seminit selepas pertikaian berlaku, kita akan menggenggam erat tangan suami dan berusaha mengembalikan denyutan jantung yang berdegup kencang tadi kepada helaan nafas satu per satu yang tenang. Akhirnya kita berdua akan merasai bahagianya bersama-sama.

KETIGA:
BIJAK KENDALIKAN KONFLIK

Tips utama adalah rahsiakan perselisihanyang berlaku. Kita yang mencipta masalah, kita jugalah yang perlu menyelesaikannya dengan bijak. Kita yang mendirikan rumahtangga ini, kita lah yang akan memastikan ianya terus kekal hingga ke syurga. Bentengkan diri dengan ilmu dan fikiran yang waras. Elakkan campurtangan ibu, mak mertua, ipar duai dan seumpamanya. Pekakkan telinga dengan pendapat yang mungkin akan memisahkan kita dengan suami. Perhatikan dalam-dalam bola mata suami, insyallah kita akan ketemu bahagia di sana. Dialah orang yang kita cintai ketika lafaz akad meniti manis dari bibirnya dahulu.

Kedua, lihat kelemahan diri sendiri dahulu sebelum tangan menundingkannya ke arah suami kita. Perlu dijngat bahawa suami adalah pemimpin, dan dia tahu peranannya sungguhpun tidak diluahkan dengan kata-katan. Pokok utama rumahtangga adalah iman kepada Rabb dengan penyerahan sepenuhnya. Walau segunung konflik yang melanda sekalipun, andai ada tawakkal yang penuh kepada Allah, nescaya hilanglah semua itu bagai angin lalu.

Ketiga, tenang, perlahan-lahan dan bijaksana ketika timbul sebarang konflik. Cuba jangan buat sebarang keputusan secara mendadak atau mengikut perasaan atau dengan kata kasarnya membabi buta. Berikan masa untuk masing-masing mengoreksi diri, buang ketepi kelemahan pasangan dan carigali serta angkat kehebatannya sebagai pasangan kita. Lama-kelamaan perasaan benci akan lenyap dan lahir sayang yang berpanjangan demi mencari keredhaan suami dan Allah.

Saya rasa cukup dahulu setakat ini bicara permulaan minggu yang insyallah menjanjikan kebahagiaan buat semua pasangan di dunia ini. Saya akan kembali lagi dengan 15 tips untuk meraih redha suami yang merupakan satu perjuangan kita sebagai isteri dalam melayari bahtera rumahtangga bersama-sama. Dialah harta kita, dialah kebahagiaan kita, dan dialah syurga kita. Insyallah…..

HARI MINGGU YANG MENYERONOKKAN!


Sabtu, 3 April 2010 baru-baru, Wan telah menyertai pertandingan memasak puding anjuran KEMAS kawasan Seputeh.Wan peserta dgn no penyertaan ke-4. Ada dua kategori masakan iaitu kerabu dan puding. Kalau kerabu-kerabu ni memang Wan tak pandai langsung. Wan masuk pertandingan pada saat-saat akhir iaitu sehari sebelumnya. Biasanya sebarang keputusan untuk buat sesuatu atau pergi ke mana-mana, Wan akan lakukan sehari sebelum. Nak janji dengan orang pun tak sedap hati sebab tempahan kuih Wan kadang-kadang tu datang tengah-tengah malam pun ada. Jadi, pilihan terbaik adalah keputusan saat-saat akhir. Nak buat macamana, beginilah hidup orang yang masuk dalam dunia perniagaan ni. Orang lain mungkin boleh goyang kaki bila hari minggu, tapi bagi Wan setiap masa adalah berniaga. Susah nak menolak permintaan orang. Kadang-kadang bukan duit sangat yang kita kejar, tetapi memenuhi permintaan orang yang lebih Wan utamakan terutamanya pelanggan tetap. Wan sayang pelanggan semua kerana merekalah yang telah memberikan sokongan selama ini.

Dalam sibuk-sibuk berniaga ni, apabila sekali-sekala ada aktiviti yang mampu menjana minda, Wan akan sertai. Jadi selepas Subuh, dalam jam tujuh, Wan pun mulalah berperang dengan senduk dan segala bagai peralatan. Tengah-tengah kacau suji, tiba-tiba Wan tertanya sendiri, “Eh! Nak kacau sampai bila ni? Bila dah gelegak, kena kacau berapa lama lagi? Alamak! Lupalah!” Maklumlah resepi ni dah lama Wan tak buat. Tapi tawakkal je lah, lepas dah gelegak lama sikit, Wan pun tuang dalam gelas kaca. Tapi rasa tak puas hati. Wan pun telefon mak mertua, nak tanya pasal masak suji ni. Dulu resepi ni, wan jugak yang bagi pada mak mertua. Rupa-rupanya tuan yang bagi resepi pulak dah lupa. Mak mertua Wan pun terangkan pada Wan dengan panjang lebarnya. “Ok, mak! Terima kasih mak!” Wan telefon tu nak confirm, betul tak cara yang Wan buat. Patutnya lepas gelegak sikit, matikan api. Tapi Wan lepas gelegak kacau lagi dan lagi. Jadi bila dah tuang tu, adunan agak pekat. Tapi tak apalah…. Wan dah rata-ratakan dengan sudu. Kemudian kacau-kacau, masuk itu masuk ini, dan akhirnya siaplah trifle suji.

Akhirnya keputusan pun sudah berada di tangan pengadil. Nama Wan diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. Alhamdulillah! Puding pemenang pertama dan kedua Wan tak sempat nak rasa. Mesti sedap punya!


Ini pemenang pertama.

Ini pemenang kedua.
Bagi pertandingan kerabu pula, Wan sempatlah merasa kerabu yang dibuat oleh Kak Mai. Wan minta kebenaran nak rasa sikit kerabu tu. Kak Mai beria-ria benar bagi Wan rasa. Patutlah Kak Mai jadi pemenang pertama, kerabu yang dia buat best sangat! Sampai dua hari Wan teringat-ingat kerabu Kak Mai. Sampai suruh suami Wan cari daun kaduk dan ulam raja. Nama kerabu Kak Mai ni, “Kerabu Ulam-ulaman.” Ulam utamanya adalah ulam raja. Ulam Raja ni memang Wan tak suka rasa dia sejak dulu. Tapi adunan kerabu Kak Mai telah mengubah persepsi Wan selama ini. Terima kasih Kak Mai! Yang istimewanya kerabu Kak Mai ni ialah ramuannya tidak menggunakan kelapa. Jadi kerabu ni tak basi lah. Kadang-kadang orang buat kerabu, bila dah lama, rasanya dah jadi lain macam. Macam apa ye? Macam basi lah! Ialah…. kelapakan tak tahan lama.

Resepi ni Wan cadangkan pada kawan-kawan untuk mencubanya. Memang berbaloi makan. Tapi berbaloi pada tekak Wan lah. Tak tahu lah pada selera orang lain. Tapi kalau nak lagi sedap, kerabu tu balut dengan daun kaduk ye! Wan tak pernah rasa daun kaduk sehelai-helai macam tu. Mula-mula rasa takut nak makan, takut ada rasa yang Wan tak mampu nak habiskan. Tapi rupa-rupanya kerabu ni memang kena betul dengan rasa daun kaduk. Sebelum ni, sejak dulu lagi Wan sering tertanya-tanya, daun kaduk ni orang makan dengan apa ye? Sebab kalau kat pasar Chow Kit, ramai peniaga masih jual daun kaduk ni. Sekarang Kak Mai telah berjaya mengubah tanggapan kolot Wan pada daun kaduk dan ulam raja malah telah membuka lagi selera Wan pada masakan kampung yang memang menjadi kegilaan Wan sejak dulu.

Kalau bercerita pasal masakan kampung ni, selera Wan dan suami memang kontras. Suami Wan lebih kepada masakan mamak, ada kari, kurma dan seumpamanya. Tapi Wan akan naik hantu kalau jumpa tempoyak, ikan kering, ulam, budu, cencaluk, sambal belacan dan segala macam masakan kampung. Tidak kisahlah masakan kampung dari negeri mana. Dulu semasa di Sarawak, Wan pernah merasai umai. Umai ni ikan mentah yang dicampur dengan pelbagai ramuan ulam. Keenakannya masih teringat-ingat sehingga kini. Belum lagi bercerita pasal mee kolok dan pusuk goring tempoyak. Yum! Yum!

Kalau masakan Semenanjung pula, Wan boleh makan berpinggan-pinggan nasi hanya dengan berlaukkan sambal tempoyak. Tak perlu ikan, tak perlu sayur, hanya sambal tempoyak! Aduh! Cerita pasal ni je pun, dah telan air liur banyak kali. Tapi nak buat semua tu, wan memang tak pandai. Sampai sekarang wan tak pandai masak lemak, walaupun dah mintak resepi pada mummy Wan. Dulu, wan pernah teringin benar nak makan kuah lemak ikan, jadi wan pun telefon mummy kat Kuantan. Semangat tak tahu cakaplah, punya berkobar-kobar. Sanggup ni pergi kedai cari santan, ikan kembung, asam keping dan segala macam bahan. Sejak kahwin, memang wan jarang ke pasar, semua suami Wan yang buat. Dulu masa anak dara pun Wan tak ke pasar cuma mummy je pergi. Minta maaflah,bukan malas tapi Wan rasa malu sangat nak keluar rumah. Lepas kahwin lagi rasa malu dengan lelaki, tapi buat-buat control macho. Dulu nak keluar rumah pun malu, sampai jiran tak tahu pun Wan balik bercuti semester. Kalau sebulan cuti, sebulanlah nampaknya Wan memerap kat rumah. Wan lebih senang, kemas rumah, masak dan jaga adik-adik. Eh! Melalut lah pulak! Nak cerita lagi pasal kuah lemak tadi. Suami Wan dan anak-anak pun tertunggu-tunggu nak makan masakan istimewa Wan tu. Wan pun sama-sama dah tak sabar. Bila dah gelegak kuah, apalagi Wan pun bersemangatla nak rasa. Aduh! Teramatlah… tak sedapnya! Rasa serbuk kunyit yang amat kuat. Patutla tengok kuah warna kuning sangat. Mummy cuma cakap bahan, wan ni buat pandai-pandai je masuk bahan ikut sesuka hati! At last, kena beli lauk kat kedai tengahari tu. Kuah lemak langsung tak boleh makan. Frust betul! Sejak hari tu sampai sekarang, kalau nak makan kuah lemak ke, sambal tempoyak ke, Wan suruh kawan Wan masakkan dan Wan bayar kat dia sebagai tanda terima kasih.

Okay, cukuplah cerita hari minggu Wan baru-baru ni. Bersama-sama ini Wan sertakan resepi untuk Trifle Suji dan Kerabu Ulam-ulaman. Selamat Mencuba ye kawan-kawan!


TRIFLE SUJI

Adunan suji:
4 cawan susu segar
½ cawan gula pasir
secubit garam
¾ cawan suji
Jelly Lady’s Choice
Fruit Cocktail



Adunan kastard:
9 sudu besar tepung kastard
10 susu besar susu pekat
6 cawan air

Adunan jelly:
1 paket jelly segera.


* Sila gunakan sudu sukatan, bukan sudu kegunaan makan.

Cara membuat:
1. Kacau susu, gula dan garam. Kacau sehingga gula hancur.
2. Kemudian masukkan suji dan barulah dikacau di atas api yang perlahan.
3. Kacau hingga menggelegak sedikit. Jangan terlalu lama di atas api.
4. Tuangkan ke dalam bekas yang jernih.

5. Biarkan 3 hingga 4 minit. Kemudian aturkan fruit cocktail di atas adunan suji tadi dan ambil 2 atau 3 sudu besar sirap fruit cocktail dan tuang di atas buah tadi.
6. Biarkan sejuk dan ketepikan.
7. Masak kastard dan tuang di atas adunan suji tadi.
8. Kemudian masakkan jelly dan tuang di atas adunan kastard tadi. Elok dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk rasa yang lebih menyegarkan.



KERABU ULAM-ULAMAN

Bahan-bahan:
Daun Ulam Raja
3 batang bunga kantan
5 biji cili padi
3 biji cili merah/masak
5 biji bawang besar
8 helas daum limau purut
udang kering/udang geragau (disangai atas kuali hingga garing- tak guna minyak)
4 biji limau kasturi (diperah)
garam secukupnya
2 sudu besar gula

Cara:
1. Hiris halus semua daun ulam.
2. Potong dadu bawang besar
3. Hiris nipis cili padi, cili merah dan serai
4. Tumbuk udang kering hingga halus.
5. Gauk semua bahan dan masukkan perahan limau
6. Masukkan garam, gula dan gaul rata.