Lewat malam tadi, sebelum mata menutup tirai hari, Wan berbincang dengan suami soal tujuan permukiman di dunia ini. Dalam kesibukan bekerja, Wan sering merintih sendiri. Tiada masa utk diri bermunajat, bangun bertahajjud. Payah, berat, malas, letih. Semua berungkai menjadi satu. Suami kata, untuk menjadi isteri solehah bukan payah tapi tidaklah mudah. Cuma taat Allah, taat suami. Buat yang Allah perintah, tinggal apa yang Allah larang dan dengar cakap suami. Merendah diri dengan suami, jaga tutur kata dan segala macam perkara yang menyenangkan hati suami. Kalau tak mampu bangun malam, buat semua yang disebut tadi sudah mencukupi. jangan fikir perkara yang sukar dibuat, lunaskan perkara di depan mata dahulu. Tugas mendidik anak-anak itu lagi penting. Biar anak-anak ingat Allah. Ingat Rasul. Senang saja! kata suami. Terkebil-kebil mata Wan mendengar.
Jauh di dasar hati, Wan dambakan diri sebagai isteri, ibu, anak dan wanita solehah. Apa itu makna SOLEHAH? Mudah disebut, tidak semudah tutur di lidah. Wan ingin menjadi hebat. Hebat hanya di mata Allah. Hebat jadi kebanggaan Rasulullah s.a.w. Suami selalu mengingatkan biar kita tidak sama dengan yang lain. Biar kita terasing, biar kita tidak punya apa. Yang penting kita tahu kita di mana dan akan ke mana. Biar kita susah, jika itu cara dekat padaNya. Andai senang itu membuatkan Wan lupa, jauhkanlah. Wan takut menjadi sombong dan tidak mahu ke arah itu. Biarlah ia hanya milik Allah. Wan ini hanya hamba yang berada dalam genggamanNya. Wan tahu dan sedar letak tempat sebagai hamba. Wan ikut, Wan tunduk. Ya, Allah! Janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku ini walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek daripada itu.
Setiap hari sebelum melelapkan mata, Wan ingat mati. Bangun tidur Wan ingat mati. Solat... Wan ingat mati. Makan Wan ingat mati. Kerja, Wan ingat mati. Setiap hari tidak lupa, Wan selalu berkata pada suami, "Abang, Ani boleh mati bila-bila masa je!" Suami hanya mengangguk dan minta kami sentiasa bersedia ke arah itu.
Kadang-kadang bila mula mengangkat takbir, sudah timbul perasaan ingin cepat melangsaikan tanggungjawab pada Allah. Tapi tiba-tiba diri tersentak, andai ini solat terakhir .... Wan pantas meletakkan Allah di hadapan. Takut Allah tidak terima. Takut Allah murka.
Kadang-kadang juga, pabila kerja bersusun bertimbun, selesai solat, cepat-cepat berdoa. Doa pun pendek saja. Tiba-tiba tersentak lagi, andai ini doa terakhir. Tidak semena-mena airmata jatuh berjuraian. Wan mengadu. Wan mengharap. "Jadikanlah aku hambaMu yang soleh. Seandainya Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah aku sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu". Amin.
Suami Wan sering mengingatkan jangan bersedih hanya kerana kesusahan dunia. Sedih hanya kerana tiada bekal kita hari ini untuk esok. Apa nak dirisaukan kata suami, memang Allah akan berikan segalanya untuk mereka yang inginkan dunia. Katanya, "Lihat surah Hud, ayat 15-16, "Barang siapa menghendaki hidup di dunia dan perhiasannya, Kami sempurnakan pekerjaannya di dunia, sedang mereka tiada dirugikan. Tetapi tidak ada bagi mereka di akhirat, melainkan neraka. Dan hapuslah apa-apa yang mereka perbuat di dunia, dan binasalah apa-apa yang mereka amalkan". Nauzubillah...
Biarlah susah itu mengajar Wan erti sabar. Meletakkan ego Wan di bawah. Wan takut kata-kata Allah pada orang yang mahukan dunia. Wan takut sungguh. Allah berkata dalam firmanNya "Demi, jika Kami rasakan nikmat Kami kepada manusia, kemudian Kami cabut kembali daripadanya, nescaya ia putus asa dan menjadi kafir. Demi, jika Kami rasakan kepadanya kesenangan, sesudah kesusahan yang menimpa dirinya, nescaya ia berkata: Telah hilang sengsara itu dari saya. Sesungguhnya dia sangat bergembira lagi sombong. Kecuali orang-orang yang sabar dan beramal soleh. Untuk mereka itu ampunan dan pahala yang besar". (Surah Hud ayat 9-11)
Ya Habibi! Kasihanilah aku! Ampunkanlah dosa ku! Jadikanlah aku hambaMu yang sabar dan beramal soleh. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment