Setelah selesai menyiapkan tempahan untuk hari ini, aku berehat sambil terus mencapai kitab Shahih Riyadhush-Shalihin oleh Imam Nawawi. Kataku di dalam hati, mukasurat yang terbuka nanti itulah yang akan ku baca dan dalami, andai ini ilmu yang Allah ingin aku teliti dan perhatikan. Cuba meneka-neka tajuk yang bakal aku jumpa, namun tidak terlintas langsung di fikiran lantaran terlalu letih. Tiba-tiba tangan ku pantas membuka secara rambang. Nah! inilah ilmu yang akan aku dapat hari ini. "Anjuran Hidup Sederhana" itulah topik yang akan aku perhalusi dengan mata hati.
Semakin ku baca hadith-hadith riwayat Bukhari Muslim, semakin sebak, semakin malu terhadap kekasih Allah itu. Lantas tanpa kusedari setitik demi setitik manik-manik halus mengalir tanpa dipinta.
Mataku terpaku pada riwayat dari Aisyah RA, ia berkata "Keluarga Muhammad saw belum pernah merasa kenyang memakan roti gandum dalam waktu dua hari bertutur-turut sampai beliau wafat." (HR Bukhari Muslim)
Aku? Keluargaku? Pagi lain menu, tengahari lain menu, petang lain menu, malam lain menu termasuklah kadang-kadang tengah malam. Apakah aku umat nabi Muhammad yang bersyukur? Apakah layak kumakan makanan yang enak-enak dan lazat sedangkan aku bukanlah seperti baginda yang berjuang demi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Misi dan visi perjuangan yang begitu besar untuk memimpin manusia mengenal Allah tidak dihamparkan dengan permaidani merah, tiada ayam panggang, tiada steak, chicken chop, tiada buah-buahan segar di meja makan, tiada minuman pelbagai warna dan tiada segala.
Sekalipun ada cebisan roti ianya hanya cukup untuk dikongsi, tidak sampai kenyang membuncit. Rasulullah tidak pernah lupa kepada jiran-jiran, sahabat-sahabat, ahli keluarga baginda apabila menikmati makanan, sekalipun yang diberikan oleh para sahabat yang lain. Baginda turut berkongsi dengan mereka sehinggakan tiada apalagi yang ada untuk dikongsi. Baginda sentiasa dalam keadaan lapar. Hatta untuk menemui kurma yang paling buruk sekalipun amat payah di dalam rumah baginda, inikan pula berbakul-bakul buah-buahan yang disusun cantik di dalam bekas kristal mahupun yang bersepah-sepah membusuk di dalam peti sejuk.
Dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah menerusi perang sekalipun, baginda dan sahabat tiada bekalan makanan.
Dari Saad bin Abi Waqqas RA, ia berkata, "Sesungguhnya saya adalah orang pertama dari kalangan Arab yang melempar dengan panah pada saat jihad di jalan Allah. Sungguh kami berperang bersama-sama dengan Nabi SAW tanpa berbekal makanan kecuali dedaunan pohon, sehingga kalau kami buang air besar, maka kotorannya seperti kambing, tidak ada campurannya sama sekali." (HR Bukhari dan Muslim)
Sekali lagi aku terkejut. Kita? Kalau sudah namanya berjalan, segala jenis makanan disumbatkan ke dalam kereta. Air ada? Keropok ada? Asam ada? Coklat? Kalau boleh satu kedai mahu dimuatkan ke dalam boot kereta. Sedangkan Rasulullah dan para sahabat hanya membekalkan Tawakkal di dalam hati. Jiwa mereka bukan pada dunia ini. Bagaimana harus ku tundukkan nafsu ke arah itu? Aku ingin menjadi sehebat mereka. Biar tiada sedinar atau sedirham di tangan, yang pasti aku ada Allah. Bukan aku gila, tetapi itulah yang aku rasa kini. Sepuluh sen yang ada, aku mahu kongsi lima sen seorang. "Berilah aku kekuatan itu, Ya Razzaq"
Lagi baris ayat kubaca,
Dari Fudhalah bin Ubaid RA, dia berkata, "Apabila Rasulullah SAW mengimami solat, sering ada orang-orang yang jatuh tersungkur dalam solat, kerana lapar. mereka adalah ahli Shuffah, hingga orang-orang badwi berkata, 'Mereka adalah orang-orang gila.' Sehingga setelah solat, beliau menghampiri dan bersabda, 'Andaikan kalian mengetahui pahala yang telah disediakan Allah SWT, nescaya kalian akan senang hidup dalam kemiskinan dan kelaparan.'"(HR Bukhari hadith ini shahih)
Selesai membaca kitab ini aku duduk diam termenung. Aku kejutkan cik abang yang sedang berbaring tidak sihat. Aku panggil anak-anak duduk keliling. "Kita jangan makan banyak lagi, cukup sekadar menghilangkan lapar dan dahaga. Sehingga wafat, Rasulullah SAW tidak pernah benar-benar merasa kenyang. Kita patut rasa malu terhadap Rasulullah. Rasulullah pernah mengikat kemas perut dengan batu semasa mengorek lubang dalam Perang Khandak semata-mata untuk menahan rasa lapar. Kita patut rasa malu. Rasulullah berjuang untuk Allah pun lapar. Kita tidak berjuang untuk Allah tetapi memilih makan yang bermacam-macam. Kita semua kena berazam untuk makan sekadar perlu sahaja apabila lapar. Semoga kita dapat merasai apa yang Rasulullah dan para sahabat alami. Rasulullah SAW banyak makan roti. Jadi kena kena kurangkan makanan berdaging. Kita kena rasa malu pada Rasulullah."
Suami ku mengangguk begitu juga anak-anak. "Ibu, Adlan tak nak makan banyak lagi." kata anak sulung. "Ain pun, ibu"kata yang bongsu. Aku harap kami semua diberikan kefahaman oleh Allah SWT untuk menjadi hambaNya yang soleh.
Aku akhiri perbincangan kami dengan dengan Hadith Riwayat Abu Daud,
"Dari Abu Umamah Iyas bin Tsa'labah Al Anshari Al Haritsi RA, ia berkata, 'Pada suatu hari, para sahabat Rasulullah SAW membicarakan tentang masalah duniawi, kemudian Rasulullah SAW bersabda, 'Apakah kalian tidak mendengar? Apakah kalian tidak mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman, sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagain daripada iman."
Sunday, November 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment