Tuesday, January 26, 2010

DI MANAKAH ALLAH?

“Ibu, Allah sedang buat apa sekarang? Allah kat mana?” tanya anak yang bongsu, Ain. Pertanyaan ini berulang-ulang bermula daripada anak yang pertama dan diikuti kedua seterusnya baru-baru ini oleh puteri bongsu saya.

Ketika pertama kali ditebak pertanyaan sedemikian rupa oleh anak sulung, otak ini ligat berpusing-pusing mencari jawapan yang terbaik.

“Sekarang…..emm…apa yang Allah buat ye? Sekarang…. Allah sedang tengok Ain dengar cerita ibu!” balas saya sambil disambut senyum tersipu-sipu Ain. Ain rasa gembira apabila mengetahui Allah sedang memerhatikannya.

“Ibu, Allah tengah pandang Ain ke Bu?” tanyanya lagi inginkan kepastian.

“Ya!” balas saya tersenyum.

“Habis…. Allah kat mana Bu? Ain tak nampak pun!” tanyanya pelik.

Mampukah sahabat sekalian menjawab persoalan ini seandainya ditanya oleh anak lelaki mahupun perempuan kita?

Tidak dinafikan masih ramai yang agak sukar memberikan jawapan yang tepat. Ada yang terpinga-pinga mencari jawapan yang selama ini tidak pernah terlintas di fikiran. Atau juga, ada yang semacam tidak pasti tempat beradanya Allah. Ada yang mengatakan bahawa Allah berada di atas (langit), di setiap tempat, atau Allah berada di mana-mana, di dalam hati ataupun berada di langit dan di bumi.

Secara asasnya, proses untuk menjadi seorang hamba yang mukmin kita wajib mengetahui tempat Allah berada. Seandainya masih merasa ragu-ragu, kita harus berusaha mencari sebanyak ilmu untuk mendekatkan diri kita yang kerdil ini dengan Pencipta.

Persoalan di manakah Allah merupakan satu aspek penting dalam kehidupan seseorang kerana ia melibatkan asas utama tahap keimanan seseorang iaitu akidah

Seandainya Allah berada di setiap tempat, ini bermakna Allah berada di pasar-pasar, tempat kotor dan seumpamanya. Adakah layak Allah Yang Maha Suci, Maha Besar, Maha berkuasa perlu berada di tempat-tempat sedemikian?

Cuba kita lihat firman Allah di dalam Surah Al-Ikhlas:4,

Dan tidak ada satupun yang sama/sebanding dengan-Nya

Ini jelas menunjukkan bahawa Allah tidak setara untuk berada pada kedudukan yang sama seperti semua makhluk yang diciptakanNya. Nas ini menjadi antara bukti kukuh bahawa Allah tidak berada di mana-mana tempat.

Bagi sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa Allah berada di semua tempat, ia sama sekali tidak benar. Ini kerana,

Firman Allah,

Maha Suci Engkau! Ini adalah satu dusta yang sangat besar” (Surah An-Nur: 16)

Persoalan “Di manakah Allah?” ini pernah diutarakan Rasulullah saw kepada seorang budak perempuan kepunyaan Mu’awiyah bin Hakam As Sulamiy untuk menguji tahap keimanannya.

Beliau bertanya kepada budak perempuan itu, “Di manakah Allah?” Jawab budak perempuan, “Di atas langit” Beliau bertanya lagi, “Siapakah aku?” Jawab budak perempuan, “Engkau adalah Rasulullah.” Beliau bersabda, “Merdekakan dia! Kerana sesungguhnya dia seorang mu’minah (perempuan yang beriman)” (Hadith Shahih)

Cuba telitikan firman Allah seperti di bawah,

Ar-Rahman di atas Arsy Ia istawaa (bersemayam)” (Surah Toha:5)

Ar-Rahman atau yang bermaksud Yang Pemurah dalam ayat di atas adalah Allah Azzawajalla. Ini memberikan kita satu gambaran jelas bahawa Allah telah memberitahu tentang kedudukanNya Yang Maha Tinggi agar kita tidak lagi tertanya-tanya. Ini kerana sebagai seorang manusia, kita tidak dapat lari daripada sifat ingin tahu dan ingin bertanya dan terus bertanya.

Lihat pula firman Allah di dalam Surah Al-A’raf ini:54 ini,

Sesungguhnya Tuhan kamu itu Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Ia istawaa di atas Arsy

Justeru, kita sebagai hambaNya yang jahil wajib beriman dengan sepenuhnya bahawa Allah istiwaa di atas ArsyNya sesuai dengan kebesaran dan keagunganNya.

Penjelasan tentang tempat bersemayamnya Allah ditunjukkan dengan jelas dalam tujuh tempat di dalam Al-Quran iaitu:

1.Surah Toha:5
2.Surah Al-A’raf:54
3.Surah Yunus:3
4.Surah Ar-Ra’du:2
5.Surah Al-Furqan:59
6.Surah As-Sajdah:4
7.Surah Al-Hadid:4

Namun ini tidak bermakna Allah bergantung kepada Arsy untuk bersemayam. Ini kerana Arsy juga adalah makhluk Allah. Bahkan semua makhluk termasuk Arsy bergantung kepada Allah sepertimana firmanNya yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian alam” (Surah Al-Ankabut:6)

Arsy ini pula merupakan tempat yang paling tinggi berada di atas tujuh langit dan sangat besar sekali sebagaimana diterangkan Ibnu Abbas:

Dan Arsy tidak seorang pun dapat mengukur berapa besarnya

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa israk Mi’raj bahawa Rasulullah saw bertemu dengan Allah swt melepasi langit ke tujuh. Ini menunjukkan abhawa Allah berada di atas langit (Arsy).

Salah satu bukti lagi Allah berada di atas Arsy dan bukan di merata-rata tempat adalah,

Mereka (para malaikat) takut kepada Tuhan mereka yang berada di atas mereka dan mereka mengerjakan apa-apa yang diperintah” (Surah An-Nahl:50)

Bukti lain juga terdapat dalam firman Allah kepada Nabi Isa bin Maryam,

Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dan mengangkatmu kepadaKu” (Surah Ali Imran:55)

Ibnu Khuzaimah di dalam kitabnya At-Tauhid (hal. 11) menerangkan bahawa bukankah mengangkat sesuatu itu dari bawah ke atas (ke tempat yang tinggi) tidak dari atas ke bawah.

Contoh bukti lain terdapat dalam sabda Rasulullah saw seperti berikut:

Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayang oleh Allah Tabaaraka wa Ta’ala (Yang Maha Berkat dan Maha Tinggi), oleh kerana itu sayangilah orang yang di muka bumi, nescaya Zat yang di atas langit akan menyayangi kamu.” (Hadith Shahih)

Dari Ibnu Abbas (ia berkata): Bahwa Rasulullah saw berkhutbah kepada manusia pada hari Nahr (10 Zulhijjah) kemudian Ibnu Abbas menyebutkan khutbah Nabi saw kemudian beliau mengangkat kepalanya (ke langit) sambil mengucapkan , “Ya, Allah bukankah aku telah menyampaikan! Ya, Allah bukankah aku telah menyampaikan!” (Riwayat Iman Bukhari bab 2, hal 191)

Umar bin Khattab pula pernah mengatakan,

Bahawasanya segala urusan itu (datang/keputusannya) dari sini” Sambil Umar mengisyaratkan tangannya ke langit.

Manakala berbalik kepada makhluk yang bernama Arsy pula, Allah berfirman di dalam surah Hud:7 yang bermaksud;

Dan adalah Arsy-Nya itu di atas air.”

Walau apa pun bentuk Arsy yang dimaksudkan Allah itu, perkara utama adalah keyakinan kita terhadap persoalan akidah yang menyentuh tentang tempat bersemayamnya Allah.

Mengapa kita perlu mengetahui tempat bersemayamnya Allah?

Imam Abu Hanifah telah berkata;

Barang siapa yang mengingkari sesunguhnya Allah berada di atas langit, maka sesunguhnya ia telah kafir.”

Manakala bagi mereka yang hanya mendiamkan diri dan tidak mengetahui sama ada Allah berada di langit atau di bumi, berkata Imam Abu Hanifah, “Sesungguhnya dia telah ‘kafir’ kerana Allah telah berfirman: Ar-Rahman di atas Arsy Ia istawaa (bersemayam). Ini bermakna Abu Hanifah telah mengkafirkan orang yang mengingkari atau tidak tahu bahawa Allah istiwaa di atas Arsy-Nya sedangkan dengan jelas Allah telah menunjukkan tempat Nya berada kepada hambaNya tanpa berselindung..

Kesimpulannya:

1.Pertanyaan “Di manakah Allah?” disyariatkan dan telah mengikuti Rasulullah saw.
2.Wajib menjawab, “Sesungguhnya Allah di atas langit atau di atas Arsy.” Ini membuktikan keimanan kita sebagai seorang mukmin atau mukminah menurut sabda Rasulullah saw di dalam kisah pertanyaan kepada seorang budak perempuan itu.
3.Wajib menyakini bahawa Allah berada di langit iaitu di atas Arsy-Nya.
4.Barang siapa yang menafikan adanya Allah di atas langit, maka sesungguhnya ia telah kafir.
5.Barang siapa yang melarang untuk bertanya “Di manakah Allah?”, sesungguhnya ia telah menjadikan dirinya lebih pandai dari Rasulullah saw.
6.Barang siapa yang tidak menjawab, “Sesungguhnya Allah berada di langit” maka ia bukan seorang mukmin dan mukminah.
7.Barang siapa yang tidak mengetahui di mana Tuhannya, maka ia bukanlah penyembah Allah Azza wa Jalla, tetapi ia menyembah kepada ‘sesuatu yang tidak ada’

Dalil yang mengatakan Allah berada di atas Arsy (di langit) juga bertepatan dengan fitrah manusia. Seandainya seseorang manusia ditimpa musibah, mereka mengangkat kepala-kepala mereka ke langit sambil mengucapkan, “Ya, Tuhan!” Jadi secara fitrahnya atau semulajadinya, manusia mengetahui bahawa PenciptaNya berada di tempat yang tinggi di atas sekalian makhluk iaitu di atas ArsyNya.

Manakala bagi orang yang mengatakan “kami tidak tahu Zat Allah di atas Arsy atau di bumi”. Mereka ini adalah orang yang memelihara kecetekan ilmunya tanpa mahu berusaha memperbaiki kelemahan tersebut. Penerangan yang jelas dalam firman-firman Allah tersebut bertujuan agar kita mengetahui dan menyakini bahawa Allah telah mensifatkan diriNya dengan sifat-sifat ini yang salah satunya bahawa Ia istiwa (bersemayam) di atas ArsyNya.

Harapan saya semoga dengan penerangan ini, kita sama-sama dapat memperbaiki kelemahan diri dan akan melipatgandakan usaha mendalami ilmu mengenal Allah. Wallu’alam.

4 comments:

  1. Salam wan,

    nasib baik anak-anak ku tidak ada yang bertanya begitu. hehhehe

    ReplyDelete
  2. Salam Wan,
    Menjawab soalan-soalan daripada anak-anak kita ni, adakalanya mencabar minda...terlalu ilmiah jawapan kita, nanti tak tercapai akal diorang lagi, tak dijawab pun nanti mereka cari jawapan sendiri...

    ReplyDelete
  3. Salam Ayah Zain,

    Tak aci la AZ! Syok la macam tu! Anak wan kalau bab2 ni tanyanye berjela-jela, kdg2 wan pun buntu, jadi pass je kat cik abang. Dia la cover line! hehehee...

    ReplyDelete
  4. Salam Datin,

    Betul, selalunya soalan mereka nampak mudah tetapi silap jawab, mereka lagi tertanya-tanya, lagi banyak soalan diajukan pada kita. Kadg2 memang mencabar minda.

    ReplyDelete