Saturday, February 13, 2010

Perihal Si Bawang



Bawang adalah sejenis bahan masakan penting yang digunakan setiap hari. Tanpa bawang, hampir semua jenis masakan akan menjadi kurang sedap. Kalau anda mahukan rasa sup yang lebih enak, bawang goreng menjadi penambah perisa hebat.

Bawang goreng yang sedap hanya diperolehi setelah ia dihiris-hiris nipis kemudian digoreng garing. Namun sebelum itu, bawang merah atau bawang besar perlu dikupas terlebih dahulu.

Persoalannya, siapakah yang suka mengupas bawang besar atau merah? Rata-rata mengatakan tidak untuk proses mengupas bawang terutamanya di restoran, hotel dan gerai-gerai makan yang perlu dikupas dalam kuantiti banyak.

Kenapa? Tentunya masing-masing tidak tahan dengan percikan air bawang yang masuk ke dalam mata apabila ia dikupas. Akibatnya, terjadilah drama ‘tangis-menangis’ di dapur. Mungkin pada saudari, ibu-ibu dan bapa-bapa, masalah pedih mata akibat mengupas bawang bukanlah masalah besar, tetapi bagi saya yang perlu mengupas bawang berguni-guni pada satu-satu masa, ia merupakan satu beban. Silap-silap, orang ingat saya sedang di dalam kesedihan. Mana tidaknya, penangan bawang ini akan menyebabkan airmata mengalir laju, hidung, mata menjadi merah dan bengkak.

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman selama hampir empat tahun mengendalikan perusahaan makanan sejukbeku yang banyak menggunakan bawang terutamanya untuk proses membuat inti kuih seperti karipap, samosa dan seumpamanya.

Setelah kajian demi kajian saya lakukan untuk menangani masalah pedih mata, rahsia atau petuanya cukup mudah.

Pertama:

Pastikan anda mengupas bawang pada waktu pagi di antara pukul 6 hingga 9 pagi bergantung kepada keadaan cuaca ketika itu. Seandainya matahari sudah muncul terik pada pukul 9 pagi, anda disarankan untuk tidak lagi mengupas bawang.

Namun seandainya hari tersebut mendung dan tiada matahari terik atau adanya hujan, anda bolehlah mengupas bawang besar sepanjang hari dengan senyum yang meleret sambil bernyanyi riang..

Kedua:

Pastikan anda tidak menggunakan dapur untuk memasak hatta menjerang air menggunakan pemanas air ketika proses mengupas bawang. Pastikan rice cooker anda tidak digunakan ketika itu. Pendek kata, jangan menghidupkan sebarang peralatan yang menghasilkan haba di dapur walaupun pemanas roti. Ini bermakna aktiviti pertama pada hari tersebut adalah mengupas bawang dan bukannya memasak walaupun 1 jam awal sebelum mengupas bawang.

Ketiga:

Waktu malam tidak disarankan untuk mengupas bawang kerana pada ketika itu haba yang diserap oleh dinding rumah akan dibebaskan pada waktu malam ketika cuaca di luar rumah sejuk. Jadi dinding rumah akan mengeluarkan haba dan suhu di dalam rumah akan menjadi sedikit panas.

Air pada bawang akan aktif mengeluarkan percikan apabila cuaca sekeliling panas. Seandainya ada hujan pada waktu malam, proses mengupas bawang boleh terus dilakukan kerana ketika ini mata kita tidak akan menjadi pedih kerana cuaca sekeliling sejuk.

Keempat:

Potong bawang dalam keadaan air paip dibuka. Seandainya anda mahu menghiris atau memotong bawang pastikan papan pemotong diletakkan di atas sinki sambil air paip mengalir keluar. Air paip tidak semestinya dibuka deras, cukuplah sekadar menyejukkan keadaan di situ.

Tapi kalau bab membazirkan air ni, kak Umiazuddin betul-betul tidak setuju dengan cadangan saya. Dia tu pejuang alam sekitar, kalau tak percaya cuba baca artikel kak Umiazudddin yang bertajuk cara-cara memelihara alam sekitar. Hehehe… maaf kak, daku terpaksa bukak jugak air tu, nanti kang menangis tak tentu pasal angkara bawang!

Kelima:

Buka kipas mengadap sisi badan. Eloknya kipas diletakkan di belakang sikit pada bahu kita. Maksudnya, apabila kipas berpusing, anginnya akan menghalakan air percikan ke arah lain dan bukan ke dalam mata kita.

Cara ini boleh digunakan seandainya kaedah memanipulasikan cuaca tidak dapat dilakukan.

Namun begitu, kaedah-kaedah di atas amat berguna kepada mereka yang tidak tahan dengan pedih mata akibat mengupas bawang. Ada juga mereka yang kebal contohnya jiran saya. Setakat sebesen bawang relaks je dia.

Selamat Mencuba! Katakan tidak kepada masalah pedih mata!

2 comments:

  1. salam Dik Wan...

    kak chaq yg tak pandai masak ni nk tumpang bagi petua sekaki leh kot nooo , coz nk wat N3 masak2 ,dh bkn bidang kak chaq , he he he

    kalu bawang banyak nk dikupas , rendam dulu dlm besen , kulit dia akan kembang jd proses mengupas kulit bwg jd cepat.

    yg kedua , ambil sebiji bawang yg dh dikupas tu (yg kecil ler ) tikam di hujung pisau . tak tau ler plak , apa kaitannya dgn mata tak berair . kalu kak chaq kupas bawang banyak2 buat dua cara tu jer , InsyaAllah mata tak nangis .
    yg nk nangis sekarang kerana ngidam nk makan kuih bingka tu lg , hui hui hui.

    ReplyDelete
  2. Salam Kak Chaq,

    Terima kasih di atas info yg berguna tu. Jangan nangis noooh! Bila jumpa nanti, Wan kasi la... Ala! bucuk masham cayang!

    ReplyDelete